Thursday, June 16, 2011

Keistimewaan Bulan Syaaban


Nisfu Syaaban 2011 | Keistimewaan bulan Syaaban




  • BULAN Syaaban mempunyai keistimewaan tersendiri dalam Islam sama seperti bulan lain yang turut mempunyai kelebihan sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu mereka yang suka beribadat sebagai salah satu jalan untuk mencari dan mendapat keredaan Allah.



  • Syaaban adalah antara bulan paling dicintai Rasulullah SAW dan Baginda akan lebih banyak berpuasa pada bulan ini. Amalan Rasulullah SAW patut dicontohi kerana selain memperbanyakkan amal kebajikan ia juga latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan Ramadan.




  • Keistimewaan bulan ini ialah seluruh amalan manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan.






  • Antara amalan yang digalakkan pada bulan Syaaban adalah memperbanyak puasa sunat, bertaubat dan beristiqhfar kerana sebagai manusia kita sudah pasti tidak akan terlepas daripada melakukan dosa. Bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah taubat nasuha.









  • Taubat nasuha akan berjaya dilakukan apabila kita menepati syaratnya. Jika dosa itu antara manusia dengan Tuhan, hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu, menyesali perbuatan maksiatnya serta berjanji untuk tidak akan mengulanginya.






  • Jika dosa itu berkaitan dengan hak orang lain, hendaklah memohon maaf daripada orang berkenaan, memperbanyak zikir dan berdoa. Zikir ialah ucapan dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati membesar serta mengagungkan Allah.






  • Ini bersesuaian dengan janji Allah bahawa orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.











  • Selain itu banyak lagi amal kebajikan yang boleh dilaksanakan pada bulan Syaaban sebagai persiapan menyambut kedatangan Ramadan seperti memperbanyakkan selawat atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, bersembahyang sunat terutama pada waktu malam dan bersedekah.



  • Maka rebutlah peluang dan kelebihan yang ada pada bulan Syaaban ini untuk mempertingkatkan keimanan dan ketakwaan kita.




  • Rasulullah SAW pernah ditanya, mengapa Baginda melebihkan berpuasa sunat pada bulan Syaaban berbanding bulan lain? Baginda bersabda yang bermaksud: “Bulan itu (Syaaban) yang berada antara Rejab dan Ramadan adalah bulan yang dilupakan manusia dan ia bulan yang diangkat padanya amal ibadah kepada Tuhan Seru Sekalian Alam, maka aku suka supaya amal ibadahku di angkat ketika aku berpuasa.” (Hadis riwayat an-Nasaie)







  • Sementara itu, kelebihan malam Nisfu Syaaban disebut dalam hadis sahih daripada Mu‘az bin Jabal, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Allah menjenguk datang kepada semua makhluk-Nya pada malam Nisfu Sya‘ban, maka diampunkan dosa sekalian makhluk-Nya kecuali orang yang menyekutukan Allah atau orang yang bermusuhan.” (Hadis riwayat Ibnu Majah, at-Thabaroni dan Ibnu Hibban)





  • Malam Nisfu Syaaban juga adalah antara malam yang dikabulkan doa. Memetik pendapat Imam asy-Syafi‘e dalam kitabnya al-Umm: “Telah sampai pada kami bahawa dikatakan sesungguhnya doa dikabulkan pada lima malam iaitu malam Jumaat, malam hari raya Aidiladha, malam hari raya Aidilfitri, malam pertama pada bulan Rejab dan malam Nisfu Syaaban.”



  • Kita boleh menghidupkan malam Nisfu Syaaban dengan memperbanyakkan beribadat seperti sembahyang sunat dan berdoa, berzikir dan membaca al-Quran.






  • Kesimpulannya, amalan berterusan ini membuatkan kita lebih bersedia untuk beramal serta menyambut kedatangan Ramadan dengan hati bersih dan jiwa suci, natijahnya mengundang ke arah kecemerlangan hidup.


No comments:

Post a Comment